Utusan Malaysia Online - Korporat
click here to Utusan Online
Vijay Eswaran kembali ke Malaysia
PETALING JAYA 12 Ogos – Qi Group, syarikat e-niaga global dari di Hong Kong yang diterajui usahawan terkenal Datuk Vijay Eswaran, sedang menimbangkan mengambil alih hartanah strategik di Malaysia di bidang liburan, hospitaliti dan industri berkaitan kesihatan termasuk menubuhkan hospital pakar mampu bayar.
Kumpulan itu juga membeli bangunan bernilai RM60 juta di Seksyen 8 di sini sebagai ibu pejabat serantaunya dan membina pusat peranginan Endau-Rompin, sebagai menandakan komitmen dan kemasukan semula usahawan itu ke Malaysia secara besar-besaran.
Ibu pejabat serantau itu akan menyatukan operasinya di Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina, kata beliau kepada Bernama di sini.
Vijay yang muncul di kalangan tokoh kewangan Hong Kong sejak sedekad yang lepas, berkata sebagai konglomerat global, kumpulan itu akan terus mencari hartanah terbaik di Thailand, Mauritius, Maldives dan Kenya selain Malaysia bagi mengembangkan perniagaan liburan dan hospitalitinya.
Sungguhpun begitu, tumpuan semasanya adalah berpindah ke Malaysia secara besar-besaran dan membina rekod prestasi dengan institusi kewangan.
“Kami mampu membeli bangunan ibu pejabat itu menggunakan dana sendiri. Tetapi, kami telah mendapatkan 60 peratus pembiayaan bagi membina kredibiliti kewangan dan nama baik di negara ini,” katanya.
Qi Group, yang bermula sebagai syarikat e-niaga pada 1998, kini berkembang sebagai satu konglomerat pelbagai negara dengan enam perniagaan utama — telekomunikasi, gaya hidup dan liburan, barang mewah dan benda-benda yang boleh dikumpul, latihan dan pengurusan persidangan, pembangunan hartanah dan perniagaan jualan langsung dengan anak syarikat di 30 negara.
Vijay berkata, kehadiran kumpulan secara berterusan dan dipertingkatkan juga disokong oleh kepercayaan terhadap potensi ekonomi negara ini dan keperluan untuk membina keperibadian tempatannya sendiri.
Usaha sama besar Qi yang sedang dilaksanakan di Malaysia ialah projek pusat peranginan Endau-Rompin di Pahang yang meliputi kawasan kira-kira 80 hektar dengan kos pembangunan AS$250 juta (RM785 juta).
Perancangan dilakukan untuk melaksanakan rancangan jangka panjang yang akan menyediakan satu marina, pembangunan bercampur-campur, villa, satu hotel butik serta pusat budaya dan warisan apabila ia beroperasi di dalam tempoh lima tahun akan datang, katanya.
Kawasan itu dibeli pada harga awal AS$28.1 juta (RM70 juta).
Kumpulan itu juga akan menubuhkan lima hospital pakar swasta di dalam tempoh tiga tahun dengan pelaburan RM18 hingga RM20 juta setiap satu dengan menyediakan perkhidmatan perubatan mampu bayar di dalam pelbagai bidang seperti pembedahan, dermatologi, operasi kecemasan dan klinik am.
Salah sebuah hospital itu akan dibina di luar kawasan bandar seperti Banting di mana tanahnya telah diperoleh.
Hospital empat tingkat dengan 40-60 katil itu, dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Kawasan berpotensi yang lain termasuk Kluang dan Kuantan.
Katanya: “Kami berharap hospital mampu bayar itu dapat menarik pelancongan perubatan ke Malaysia kos yang bakal ditawarkan jauh lebih murah dari Singapura. Ia sesuai dengan strategi pelancongan kita.”
Vijay berkata, syarikat itu juga sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang untuk membina Pekan Istana, iaitu satu istana klasik, yang dibina tanpa menggunakan sebatang paku pun atau penggunaan simen dan terletak di kawasan istana.
“Malaysia tidak menggunakan budaya dan warisan seperti mana yang digunakan di Bali dan Thailand (dan) lebih-lebih lagi budaya di Pahang, Terengganu dan Kelantan yang mempunyai perbezaan ketara dengan pantai barat,” kata Vijay.
Vijay, yang berasal dari Terengganu, teruja untuk memperkenalkan budaya dan warisan negeri itu yang kaya dengan seni bina Melayu pantai timur dan bukan setakat keindahan pantai dan lautannya.
Sebaik sahaja Pusat Peranginan Endau-Rompinnya beroperasi dalam tempoh lima tahun lagi, kumpulan itu juga merancang membangunkan tasik yang terkenal dengan lagendanya, bagi digandingkan dengan kawasan hutan warisan yang berusia 100 juta tahun iaitu Endau-Rompin.
“Kami akan memulihara paya bakau dan persekitaran hartanahnya dan membina kabin menggunakan tiang bagi memulihara keseimbangan ekologi projek itu,” katanya.
Mengenai pulangan daripada pelaburan itu, katanya, ia memberikan pulangan yang menguntungkan kerana pusat peranginan itu sendiri akan dikunjungi oleh pasaran pelancongan khusus dari kelab percutiannya yang mempunyai data pelanggan enam juta pelanggan di seluruh dunia.
Kumpulan telah membawa masuk pelancong ke Malaysia, Thailand, Bali dan Timur Tengah.
Bagi tujuan itu, kumpulan itu juga sedang mencari sebuah hotel bandar di Kuala Lumpur yang boleh menjadi tapak perhentian sebelum bertolak dan menikmati keindahan di Endau-Rompin dan Tasik Chini.
Kumpulan itu sedang berunding dengan dua hotel, “tetapi kami mungkin tidak akan mengambil alih kedua-duanya. Sebuah terletak di Jalan Sultan Ismail di KL dan sebuah lagi di Petaling Jaya berdekatan Amcorp Mall” yang menempatkan operasi semasa Qi.
“Kami juga sedang mengkaji hartanah di Mauritius, Kenya bagi safari, dan satu pulau di Maldives bagi menambah kepada pelan pembesaran kami,” katanya.
Di pusat peranginan miliknya di pulau Koh Samui di Thailand, katanya kumpulan itu sedang membina hotel mewah kedua di sepanjang pantai Boh Put pulau itu.
Majlis pecah tanah pusat peranginan kedua di Koh Samui akan dilaksanakan pada bulan ini.
Vijay berkata, kumpulan itu juga merancang mendapatkan hartanah di Sabah dan Sarawak, kemungkinan di pulau di luar pantai Sandakan serta di Balik Pulau, Pulau Pinang.”
Katanya, usaha mencari hartanah yang mempunyai lokasi yang baik tidak akan berhenti bagi keperluan syarikat itu. – Bernama
No comments:
Post a Comment